Search this blog

Tuesday, March 29, 2011

PESANAN BUAT PEGUAM DILUAR SANA




Peguam usah persenda mahkamah: Raja Dr Nazrin Shah

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah menasihatkan pengamal undang-undang supaya tidak mempersendakan mahkamah selain membantu untuk tidak melengahkan perbicaraan. 


Bertitah pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Peperiksaan Sijil Amalan Guaman Tahun 2010 Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia di sini, semalam, baginda mengingatkan profesion undang-undang adalah profesion yang dipandang mulia dan elit serta mempunyai peradaban, kesopanan dan etika tersendiri.



Baginda bertitah, satu daripada tonggak utama profesion undang-undang adalah etika dan moraliti, memastikan integriti undang-undang dan keadilan terhadap mahkamah serta anak guam, dapat disempurnakan.“Dalam melaksanakan tanggungjawab itu, mahkamah jangan sesekali dipersendakan, peguam seboleh-bolehnya wajib membantu untuk memastikan perbicaraan tidak dilengahkan dan peguam juga tidak harus dengan cara yang tidak profesional sengaja menyusahkan pihak lawan," titah baginda. 


Raja Dr Nazrin Shah turut mengingatkan pengamal undang-undang bahawa mereka wajib menjadi teladan dengan menjauhi perbuatan yang mengabaikan keadilan. 


"Sedarilah bahawa tingkah laku peguam turut diadili masyarakat," titah baginda. 

Raja Dr Nazrin Shah bertitah kecekapan mahkamah mengurangkan kes tertunggak bukan saja dapat memastikan keadilan dilaksanakan segera tetapi turut meningkatkan peraturan pengurusan mahkamah di kaca mata umum. 


Baginda turut bertitah bahawa negara memerlukan barisan profesional yang cekap dalam bidang undang-undang antarabangsa untuk membantu mempertahankan kepentingan negara di peringkat global. 


"Diramalkan, evolusi profesion undang-undang akan berlaku dengan lebih hebat dalam 10 tahun akan datang, iaitu lebih hebat dari kadar yang berlaku sejak seratus tahun yang lalu. 


“Kesediaan melakukan perubahan dan merintis langkah pembaharuan adalah satu kemestian kepada semua profesion dalam dunia global yang semakin terangkai ini," titah baginda. 


Baginda bertitah, evolusi itu akan terus berlaku dalam menghadapi gelombang baru, antaranya penemuan pesat dalam bidang sains dan kemajuan pesat teknologi dan pengaruh globalisasi yang semakin meningkat membawa perubahan berbentuk persaingan. 


"Perubahan demografi penduduk dari segi usia berserta kebangkitan media sosial, perubahan sosial serta persekitaran intelek juga adalah antara evolusi yang menghadapi gelombang baru," titah baginda. – BERNAMA 



No comments:

linkwithin

Blog Widget by LinkWithin